Monday 5 November 2012

Cinta tanpa Syarat



Pernah dengar tak mengenai cinta tanpa syarat? Terlalu banyak persepsi dan anggapan kita dalam cinta tanpa syarat ni. Tapi apa ya sebenarnya cinta tanpa syarat ni? 

Cinta suci sudah semestinya tidak memerlukan sebab atau juga syarat. Sebab itu boleh juga dikatakan syarat, dan syarat itu juga boleh dikatakan sebab. Jika kita mencintai seseorang dengan bersebab, bermaksud kita telah meletakkan cinta kita dengan syarat di situ.  Sebagai contoh, "saya sayang awak sebab awak pandai menjaga hati saya". Maksudnya, saya cintakan awak, dengan syarat awak kena pandai jaga hati saya. Selain dari itu, boleh juga diambil cantik sebagai sebab, suara yang merdu sebagai sebab, dan bentuk tubuh sebagai sebab, tetapi sebenarnya cinta suci tidak memerlukan semua itu.

Andai ada orang atau pasangan kita mencintai kita dengan sebab atau syarat, mungkin kurang keikhlasannya di situ dalam mencintai dan menyayangi kita. Mengapa perlu difikirkan kenapa kita tertarik dengan orang ini, kenapa kita suka pada orang itu. Kenapa kita cintakan dia, kenapa kita sayangkan dia. Percayalah, semua itu kuasa Allah. Dialah yang telah menggerakkan hati kita untuk mencintai dan menyayangi seseorang, terutamanya pasangan kita. Jodoh kita Dia juga yang tentukan. Walaupun kita mempunyai kriteria tertentu dalam memilih pasangan, namun jika Allah tidak mengizinkan, tetap jua kita takkan dapat apa yang kita mahukan. Malahan, mungkin orang yang langsung tidak ada dalam senarai pemilihan kita tu yang ditakdirkan sebagai jodoh kita. Oleh sebab itulah sebaiknya tak perlu kita meletakkan syarat atau sebab untuk mencintai dan menyayangi seseorang.


Pernah terbaca satu kisah yang pernah disiarkan dalam sebuah blog tak lama dulu. Mungkin ada yang pernah baca, mungkin ada yang pernah mendengar orang bercerita, atau mungkin juga ada orang yang pernah mengalaminya juga sebelum ini. Yang pasti kisah ini adalah mengenai cinta tanpa syarat atau juga sebab. Marilah kita sama-sama hayati dan ambillah iktibar dari kisah ini supaya kita menjadi insan yang terus berbahagia dengan cinta dan kasih sayang yang tidak bersyarat.

Sepasang suami isteri berjalan di tepi sebuah tasik yang indah. Kemudian mereka berhenti di bangku yang disediakan di tepi tasik. Si isteri bertanya kepada si suami. Ini dialog mereka:

Isteri: Kenapa abang suka saya? Kenapa abang cintakan saya?
Suami: Abang tak boleh terangkan sebabnya, tapi abang memang sayang dan cintakan ayang!
Isteri: Abang tak boleh terangkan? Bagaimana abang boleh katakan abang cintakan saya sedangkan abang tak boleh terangkannya?
Suami: Betul! Abang tak tahu sebabnya tapi abang boleh buktikan yang abang betul-betul cintakan ayang. Sungguh!
Isteri: Tak boleh terangkan? Tidak! Saya nak abang terangkan apa sebabnya. Kawan-kawan saya yang ada suami dan teman lelaki, semuanya terangkan kenapa mereka mencintai. Ada yang dalam bentuk puisi dan syair lagi. Tapi.... abang tak boleh terangkan sebabnya.
Suami: Baiklah! Abang cinta ayang sebab ayang cantik, penyayang, dan selalu ingat pada abang. Abang juga sukakan senyuman manis ayang dan setiap tapak yang melangkah, di situlah cinta abang pada ayang.

Si isteri tersenyum dan berpuas hati dengan penerangan tersebut. Selang beberapa hari, si isteri mengalami kemalangan dan koma. Si suami amat bersedih dan menulis surat kepada isterinya. Surat itu diletakkan di sebelah katil isterinya di hospital.

" Ayang, jika disebabkan suara aku mencintaimu, sekarang bolehkah engkau bersuara? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintaimu. Jika disebabkan kasih sayang dan ingatan aku mencintaimu, sekarang bolehkah engkau menunjukkannya? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintaimu. Jika disebabkan senyuman aku mencintaimu, sekarang bolehkah engkau tersenyum? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintaimu.
      Jika disebabkan setiap langkah aku mencintaimu, sekarang bolehkah engkau melangkah? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintaimu. Jika cinta memerlukan sebabnya, aku tidak mempunyai sebab mencintaimu lagi. Tetapi adakah cinta memerlukan sebab? Tidak! Aku masih mencintaimu dari dulu, kini selamanya dan cinta tidak perlu ada sebab. Kdangkala perkara tercantik dan terbaik di dunia tidak boleh dilihat, dipegang. Namun begitu, ia boleh dirasai dalam hati."

Memang cinta harus dilandaskan pada kesesuaian antara yang mencinta dan yang dicintai. Namun cinta yang suci dan sejati tidak akan sirna setelah berpadunya roh dan jiwa atau bertemunya ikatan batin dan inilah yang digambarkan dalam kisah tadi.

Oleh itu, berhati-hatilah apabila ada lelaki yang terlalu memuja-muja anda. Dia mungkin mengatakan betapa terpesonanya dia melihat wajah anda yang jelita, suara anda yang merdu, serta bentuk tubuh yang menggiurkan. Ingat, ketika semua ciri telah tiada, dia mungkin akan melupakan kata-katanya itu.

Sebaiknya pilihlah lelaki yang tidak terlalu memuji-muji anda, tetapi memilih anda seadanya kerana itu tanda bersedianya dia untuk terus mencintai anda biar apa pun keadaannya nanti. Yang penting, usah terlalu mengimpikan pasangan yang terlalu sempurna dari segenap aspek kerana impian melangit itu hanya akan memakan diri. Terimalah pasangan seadanya dan binalah kebahagiaan berlandaskan kejujuran dan keikhlasan. Wallahua'lam.









No comments:

Post a Comment

Terima Ksih beri Komen atas coretan saya

entry yg lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...